Pintu sebelah penumpang dibuka perlahan. Semerbak bau bedak Cuticura bertebar masuk ke dalam ruangan MyVI itu bila Nia mula labuhkan punggung. Nafas ditarik panjang sebelum kepalanya dipaling ke sisi tempat duduk pemandu dengan senyuman.
"Ampun kak, kelewatan. Guru bahasanya panjang betul bercerita,".
" Ampun...ampun. Hisyhh..kamu ni Nia, dah tiga minggu ikut kelas bahasa pun lidah tak boleh ubah lagi ke?" tegur Kak Ton diiringi lepukan di bahu. Tersengih Nia dibuatnya.
"Alamak, maaf kak. Lupa!"
"Haaa..macam tu baru betul. Kamu jangan nak tersasul macam tadi depan encik Syafiq tau Nia. Encik Syafiq tu jenis tak marah pekerja depan-depan. Yang kesiannya En Aizam lah yang bakal kena sembur nanti. Kamu kena buktikan yang dalam jangka masa singkat ni kamu boleh ubah cara percakapan kamu dan dalam masa yang sama cuba dapatkan tender Megah Holding tu. Kalau tidak.....".
"Iye kak, jangan risaulah. Saya akan usaha sungguh-sungguh demi syarikat kita. Don't worry ye kakak sayang. Janji harus ditepati.".
" Ceh, dah gaya yang berhormatpula kamu ni. Siap janji ditepati lagi! Jadi sekarang, kita pergi makan dulu sebelum balik. Kak Ton tak sempat nak masak tadi. Tertidur sambil tengok tv .Emmm..kita pergi makan dekat benteng taman univerisiti nak? Murah sikit kalau nak makan tengah-tengah bulan ni.Almaklum, kawasan student."
"Kawasan student? Maksud Kak Ton?" soal Nia, polos.
"Taman Universiti tu, kawasan pelajar universiti. Jadi tempat makan disitu biasanya lagi murah berbanding di Johor Bharu ni. Tapi, jauh sikit la. Nia, okey ke? Atau..Nia dah mengantuk? Ada kerja?"
Dahi Nia dah berkerut seribu. Pelajar Universiti? Universiti apa ya?
" Universiti Putra Malaysia ye kak ton?".
Kak Ton dah bantai gelak beria-ia.
"Jauh benar kamu melencong ni Nia. UPM tu, nun..jauh di Selangor. Nak kesana hampir 4 jam. Di sini Universiti Teknologi Malaysia. Lebih kurang 30 minit saja kalau jalan tak sibuk. Kalau kamu nak ke UPM pun boleh, tapi tunggu cuti panjang lah ye. Boleh juga Kak Ton bawa kamu jalan-jalan ke Kuala LUmpur nanti. Emmm..jomlah! Kita gerak dulu ye. Perut pun dah lapar ni."
Nia angguk laju tapi dahi masih belum hilang kerutnya.4 jam ya? Jauh nya! Rungutnya dalam hati sebelum tali pinggang keselamatan ditarik perlahan dan dipasang sambil kereta yang dinaiki membelah kegelapan malam di kotaraya Johor itu.
*****
"Wahhhh...asikkkk!!!" jerit Nia perlahan usai pintu kereta ditutup. Membuntang matanya melihat suasana deretan gerai berpayung di kawasan terbuka itu.
"Nia.....".
"Aaaa....errrr...maaf Kak Ton.Salah lagi. Wahhhh..hebatlah! Saya suka makan di sini."jerit Nia sekali lagi dengan senyuman masih tak lekang dibibir.
Saya suka makan di sini? Sebijik ayat dalam buku teks budak darjah 1. Kak Ton ketawa mengekek.
"Dah gaya budak kecik baru belajar bercakap dah kamu ni. Janganlah formal sangat Nia oiii. Leks...leks...sudah."
"Leks..leks?Apa tu?".
Makin kuat tawa Kak Ton sambil kepala digeleng. Rosak budak Nia ni duduk dengan aku heh.Elok-elok dia belajar bahasa melayu dengan cikgu bahasa, habis tonggang langgang sebab aku.
"Leks tu, kata singkat untuk releks. Bahasa budak sekarang, macam itulah."
"Relax? Berehat? Yang sebenarnya, kita nak pergi makan atau berehat ni Kak Ton?"
Kali ini dahi pula jadi mangsa tepukannya. Dah tak sampai hati nak menggelakkan Nia yang confirm-confirm dah pening kepala dibuatnya.Tanpa kata apa, pergelangan tangan gadis itu ditarik untuk turut sama melangkah. Kalau nak dilayan sangat kesalahan tatabahasa si Nia ni sampai esok pagi pun belum tentu dapat makan!
"Eh...bos! Bos seorang saja ke?".
Lelaki yang hanya ber-tshirt putih kosong, berseluar jeans yang kusyuk menyuap sambil mata tertancap di kaca mata televisyen berhampiran langsung menoleh sebelum senyum diukir.
"Iya kak Ton," balas Syafiq pendek. Baru saja senyum mahu diukir, mata sudah tertancap pada teman Kak Ton di sisi kirinya. Langsung wajahnya dikeraskan.
"En Zam?".
"Biasalah, hujung minggu balik kampung. Tengok anak dan isteri."
"Oooo...iyalah kan. wife En Zam kan dalam pantang sekarang. errr..kalau kami join bos makan, boleh ke? ".
Mata Syafiq tak berkerdip memandang ke arah wanita awal 40-an dihadapannya. Kemudiannya ekor matanya beralih ke sisi wanita itu.
"Jemputlah," balasnya lambat-lambat sambil terus menyuap.
"Nia duduk dulu.Akak order kan makanan ye? Nia nak makan apa?".
"Aaaaa...errr..sama macam kak ton lah!" balas Nia sambil terkulat-kulat bila disuruh duduk bertentangan dengan bosnya.
"Minum?".
"Air suam."
"Okey. Nia borak-borak dengan bos dulu ye.Akak pergi ushar makanan jap."
"Ushar?" soal Nia perlahan tapi Kak Ton dah berlalu entah ke mana meninggalkannya dengan Encik Syafiq yang serius mengadap makanan. Serba salah dia dibuatnya.Borak? Nak berborak apa?
"Ushar tu...tengok-tengok," jelas Syafiq tiba-tiba.
"Ha?".
"Hmmm..macam mana, okey ke?" soal Syafiq tanpa memandang. Entah kenapa, nasi goreng USA itu masih setia jadi perhatiannya sejak tadi.
"Oooo..okey. Saya suka makan di sini. Selalu, kami makan di restoren." balas Nia sepatah-patah. Puas dia menyusun ayat.Bimbang kalau loghat aslinya terkeluar lagi. Pesan Kak Tin tadi masih tersemat kemas di akalnya. Jangan bagi Encik Syafiq menyesal ambil kau berkerja dan keluar belanja untuk belajar kelas bahasa Nia!
"Saya bukan tanya pasal makanan. Saya tanya tentang kelas bahasa, okey ke?".
"Ha?Oooo..maaf Encik Syafiq. Saya silap faham. Ya, okeylah. Guru bahasanya agak lucu juga orangnya." balas Nia laju.
"Apa?".
Gulppppp!!! Laju-laju mulutnya ditekup. Aduhai Nia. Apa yang kau cakap ni? Tadi dah elok dah menyusun ayat.Tup-tup. keluar balik?
"Maaf Encik Syafiq....." takut-takut Nia nak angkat muka.
"Hmmm...design Megah Holding untuk chalet di Port Dickson dah siap?".
"Lagi 10 peratus siap." balas Nia laju sambil tarik nafas lega. Mujur bos tukar topik.Tapi Encik Aizam? Alahai, maaflah En Aizam ye! Dalam hati, rasa bersalah mula terasa. Bak kata Kak Ton. harus Encik Aizam yang ditegur nanti.
Mata Syafiq sedikit membulat.
"Deadline Isnin ni Nia." balas Syafiq, serius. Pinggan yang sudah licin ditolak perlahan ke tepi.
"Iya, saya tahu Encik Syafiq. InsyaAllah, balik makan ni saya sambung kerja saya. Encik Syafiq tak perlu risau. By monday morning, design akan saya letak atas meja Encik Syafiq."
"Nope. By monday morning saya dah kena submit proposal pada Megah Holding so before that, awak kena serahkan pada saya."
"Errrr....".
Syafiq dah berpeluk tubuh usai tubuhnya disandar ke belakang. Wajah gadis muka bujur dengan tudung bawal kosong rona merah itu dipandang sekali imbas dari atas ke bawah. Dressing ada perubahan sedikit dari dahulu. Dah pandai berblaus!
"Kalau begitu, suka atau tidak saya kena serahkan pada Encik Syafiq selewat-lewatnya esok malam."
"Yeah, absolutely. itu pun, kalau saya puas hati dengan design awak. If not, malam tu awak tak boleh tidur sampai ke pagi untuk buat pembetulan. Awak kena ingat Nia. Projek ni, nyawa kita. Rezeki 8 orang staf di pejabat kita tu termasuk saya dan Aizam untuk bulan ini bergantung pada awak sekarang. So, are you sure...you can handle it?".
"Yes bos! I'm really sure about that. Saya akan cuba siapkan esok petang dan serahkan pada Encik Syafiq. Encik Syafiq boleh lihat dahulu dan nilai. Kalau ada kurang di mana-mana, saya akan betulkan segera. On the spot"
"Bagus. Itu yang saya nak dengar. Okeylah, saya kena gerak dulu. Kirim salam pada kak Ton. Jumpa esok.Assalamualaikum...."
"Waalaikumussalam....".
"Eh...bos!".
"Iya?".
" Design, saya nak serah dipejabat ke?".
" Nope. Datang apartment saya. Kak Ton tahu di mana.Okey?" balas Syafiq dengan senyum dihujung bibir.
"Orait bos!" balas Nia dengan sengihan. Hilang rasa seram yang beraja di hati sejak mereka berbicara tadi bila terlihat senyuman itu. Susah sungguh nak tengok bos yang seorang ini senyum. Tapi bila sesekali dia senyum, aduhai.
"Hoiii..jangan pandang lama-lama. Nanti kalau tersangkut, payah!" sergahan Kak Ton dari belakang langsung mematikan sengihan dan angannya.
"Lamanya kak Ton pesan makanan?".
"Hehehe.Kak Ton pesan dan tunggu sampai siap. Saja Kak Ton nak bagi peluang Nia dengan bos beramah mesra. Amacam? Bos okey kan?". Nia borak apa dengan bos?".
"Hmmm..pasal kerja," balas Nia acuh-tak acuh sambil meneguk air suam di hadapannya.
"Huk aloh bos ni. Luar pejabat pun bincang pasal kerja ke? Patutlah sampai sekarang tak ada makwe. Asyik fikir kerja..kerja."
"Bos...belum ada yang punya?" soal Nia sambil mengunyah nasi goreng ayam kunyit yang disuap.
Laju Kak Ton menggeleng sebelum senyum nakalnya terbit.
"Kenapa? Nak cuba ke? Kak Ton boleh tolong".
"Iya...enggaklah!".
"Niaaaa!!!".
"Alaa...maaaf kak! Salah lagi. Aaa..err..tak mau lah. Saya ni, bukan orang sini kak. Tak sesuailah dengan bos."
"Orang sini ke, orang sana ke tak penting semua tu Nia .Jodoh tu kan, rahsia Allah. Mana tahu, kamu boleh ubah persepsi bos kita tu dari fikir pasal kerja je kepada niat nak berkeluarga. Kan? Atau...kamu sudah ada pacar?".
" Kak Ton...bahasa melayu pleaseee...." tegur Nia sebelum mereka sama-sama tertawa.
Monday, December 9, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Smbg la ag cite ni bez la nk tau ksah syafiq ngn nia cm ner
best.
Post a Comment